Tonik Hati (Liver Tonic) Al-Jabbar

Thursday, July 23, 2009

Pati Minyak Daun Nilam (Patchouli)

Nama Panggilan: Nilam
Nama Botani: Pogostemon cablin (Blanco) Benth
Nama Lain: Patchouli (Inggeris)
Famili: Lamiaceae

Pengenalan:
Tanaman nilam dipercayai berasal dari Filipina dan banyak terdapat di hutan-hutan kepulauan Filipina. Ia dibawa masuk dan ditanam di Semenanjung Malaysia pada awal tahun 1800. Walau bagaimanapun pada awal 1900 dengan kemasukan getah yang lebih menguntungkan, tanaman nilam tidak lagi diminati oleh pekebun kecil di Malaysia. Sekarang nilam diusahakan secara komersial di Indonesia(Acheh), China dan Brazil.

Ciri-ciri Morfologi:
Nilam merupakan tanaman herba renek, mempunyai banyak cabang dan tumbuh sehingga 1.0m tinggi. Daunnya berbentuk ovat, 8-10cm panjang dan 5-8cm lebar, tebal dan bergerigi. Ia bewarna hijau tua keungu-unguan dan mengeluarkan aroma yang unik apabila diramas. Batang dan cabangnya bewarna ungu, berbentuk empat segi dan diselaputi bulu yang halus. Nilam didapati tidak berbunga di Malaysia.

Khasiat dan kegunaannya
Dari segi perubatan tradisional, air rebusan daun nilam dilaporkan digunakan untuk mengubati sakit tekak, asma, batuk dan demam.
Daun nilam yang beraroma boleh menghasilkan minyak pati yang dikenali sebagai ‘Patchouli oil’ dipasaran antarabangsa. Antara bahan kimia yang terdapat di dalam ‘patchouli oil’ termasuklah benzaldehid, kardinena, aldehid sinamik, eugenol dan ‘patchouli alcohol’.

Minyak nilam banyak digunakan dalam industri wangian dan ciri-cirinya boleh mengikat (fixative) minyak pati yang lain menjadikannya sangat penting dalam pembuatan minyak wangi. Minyak nilan juga digunakan dalam produk seperti sabun, bahan pencuci, syampu dan ubat antiserangga. Pada kepekatan yang rendah, minyak nilam juga digunakan sebagai bahan perisa dalam produk minuman dan makanan.

Pemprosesan tanaman

Selepas dituai daun nilam biasanya perlu dijemur selama 4-5jam dibawah sinar matahari supaya ia cukup kering. Ini bertujuan mengelakkan proses fermentasi berlaku pada daunnya dan juga bagi memastikan mutu minyak yang dihasilkan. Selanjutnya daun nilam ini diangin-anginkan diruang yang teduh (dalam bangsal) selama 3-4 hari sebelum ia disulingkan. Kadar air daun kering yang baik adalah di bawah 15%. Nisbah daun basah ke daun kering ialah 5:1 atau dalam lingkungan 20%. Daun nilam yang telah dikeringkan ini juga boleh disimpan didalam guni pada jangka masa yaang lama dan disuling apabila diperlukan.

Proses penyulingan bagi nilam mengambil masa lebih kurang 5-6jam. Hasil minyak pati nilam yang diperoleh adalah sekitar 0.65%daripada berat daun basah. Jadi secara purata sehektar tanaman nilam boleh mengeluarkan 195kg minyak pati bagi penuaian pertama dan 117-130kg minyak pati bagi penuaian kedua.

No comments:

Post a Comment