Tonik Hati (Liver Tonic) Al-Jabbar

Sunday, June 14, 2009

Industri Spa Mampu Jana Pendapatan Negara

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Industri spa di Malaysia dijangka mampu menjana pendapatan negara dalam jangka panjang sekiranya isu-isu yang mengekang perkembangannya diberi perhatian oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Spa Malaysia (AmSpa), Datin Ramona Suleiman berkata, meskipun industri spa di negara ini masih baru namun ia telah memberi sumbangan yang signifikan khususnya kepada sektor pelancongan negara.

Menurut beliau, industri spa kini boleh dikatakan sebagai antara tunjang sektor pelancongan negara apabila banyak spa diwujudkan sama ada dikendalikan oleh hotel, resort dan persendirian.

Walaupun tanpa perangkaan yang kukuh, Romona berkata, permintaan terhadap perkhidmatan spa semakin menggalakkan khususnya di kalangan pelancong barat dan Asia Barat.

''Dulu permintaan terhadap spa tidak begitu ketara tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini spa menjadi antara perkhidmatan dalam sektor pelancongan yang mendapat sambutan begitu hebat,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Beliau berkata, antara isu yang mahu diberi perhatian ialah menyelaraskan undang-undang operasi pusat spa pada satu kementerian sahaja berbanding sekarang.

Katanya, pada masa ini industri spa berhadapan dengan masalah kerana setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai peruntukan sendiri dan ini menyusahkan pengendali spa. Mengulas mengenai perkara itu, Ramona berkata, antara isu yang mengekang industri spa ialah bayaran deposit sebanyak RM10,000 untuk mendapatkan lesen operasi yang dianggap terlalu tinggi bagi seseorang usahawan memulakan perniagaan.

''Deposit yang dikenakan ini adalah deposit paling mahal dan ia tidak adil kerana pusat-pusat rawatan kecantikan lain seperti salon hanya dikenakan deposit sebanyak RM1,000 sahaja,'' ujarnya.

Selain itu, industri spa juga berasa terbeban kerana perlu mendaftar secara terperinci maklumat pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan di spa mereka.

Beliau berkata, syarat itu dilihat sebagai menganggu keselesaan pelanggan dan menjejaskan industri spa yang baru hendak bermula.

Itu belum lagi dengan syarat yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen yang menggenakan bon tunai sebanyak RM3,000 kepada pemilik spa yang mahu mengambil terapi asing.

Ramona mengakui peraturan ketat yang dibuat oleh PBT adalah untuk menangani masalah kewujudan penyalahgunaan spa sebagai tempat kepada pelbagai gejala sosial tetapi pada masa yang sama PBT perlu berlaku adil kepada pemilik spa yang serius dalam perniagaan itu.
Untuk memperbetulkan hala tuju industri spa negara, beliau telah menubuhkan persatuan itu sebagai usaha memastikan hanya pemilik spa yang memenuhi peraturan sahaja berdaftar.

''Apa yang saya lakukan ini adalah untuk memastikan jenama industri spa di Malaysia dilakukan secara profesional kerana industri ini masih mempunyai banyak peluang untuk diterokai.
''Bukan itu saja, saya akan memastikan AmSpa menjadi suara kepada industri spa tempatan,'' tambahnya.

Sumber : Utusan Malaysia
09 Februari 2008

No comments:

Post a Comment